
SEGAMAT – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan bantuan wang ihsan (BWI) kepada mangsa banjir seluruh negara disegerakan.
Ismail Sabri berkata, ia bagi membolehkan mangsa banjir dapat menggunakan wang berkenaan bagi membeli keperluan mereka dengan segera.
Seeloknya kata Perdana Menteri, bantuan itu diagih kepada mangsa sebelum mereka pulang dari pusat pemindahan sementara (PPS).
“Sebelum ini agihan wang ihsan ambil masa antara tiga hingga enam bulan, namun sekarang ia perlu dipercepatkan. Kita tak nak lepas enam bulan baru mangsa banjir dapat wang ihsan.
“Ada seorang makcik memberitahu saya dia sudah tinggalkan rumah tiga empat hari dan tidak tahu apa jadi dengan barangan dalam rumahnya. Kalau terendam lama begitu, tentulah rosak.
“Kita cepatkan pemberian wang ihsan supaya mangsa banjir dapat segera dapat beli barang keperluan terutama pakaian dan makanan sementara dapat bantuan lain,” katanya selepas meninjau PPS Balai Raya Kampung Tandong hari ini
Perdana Menteri hari ini, meluangkan masa lebih sejam di PPS berkenaan selain turut diberi taklimat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Segamat.
Selain itu, Perdana Menteri turut menyampaikan wang ehsan kepada 26 ketua keluarga di PPS berkenaan, membabitkan RM1,500 yang mana RM1,000 adalah sumbangan kerajaan Persekutuan dan RM500 daripada kerajaan negeri.