PN sedia hadapi PRN Johor – Muhyiddin

0
32
Bendera Perikatan Nasional

CYBERJAYA – Perikatan Nasional (PN) bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan pada bila-bila masa susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu, kelmarin.

Menurut Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai persediaan menghadapi pilihan raya, PN akan mengadakan rundingan dengan parti-parti anggota PN bagi memuktamadkan kerusi-kerusi yang akan ditandingi selain memberi tumpuan kepada persiapan jentera parti.

“Sekiranya diberikan mandat oleh rakyat negeri Johor dalam pilihan raya ini, PN akan membentuk sebuah kerajaan yang berintegriti, prihatin rakyat dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada penyampaian perkhidmatan yang cemerlang demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat negeri Johor seluruhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, walaupun PN adalah sebahagian daripada kerajaan negeri Johor sebelum ini, keputusan pembubaran DUN Johor dibuat tanpa perundingan dengan PN Johor.

Sementara itu, Muhyiddin turut menyeru semua pengundi yang layak untuk mengundi dalam PRN Johor kali ini supaya keluar mengundi dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Saya berharap SOP yang akan ditetapkan nanti adalah seimbang dari segi keutamaan untuk mencegah penularan Covid-19 dan memberi ruang kepada parti-parti politik untuk berkempen secara bebas, adil dan selamat.

“Saya juga mengalu-alukan semua pengundi baharu termasuk pengundi berumur 18 tahun ke atas yang akan mengamalkan hak demokrasi mereka sebagai pengundi buat pertama kali dalam PRN Johor. Tunaikanlah hak dan tanggungjawab anda secara bijaksana,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here