Polis kenal pasti 48 pemilik Honda Civic buat ‘gathering’ di lorong kecemasan

0
786
Gambar ‘gathering’ geng konvoi Honda Civic yang tular semalam

NILAI- Polis akan memanggil sekumpulan individu yang dipercayai ahli sebuah kelab kereta untuk memberi keterangan selepas gambar mereka berhenti dan meletakkan kenderaan di lorong kecemasan di Lebuh Raya Temiang-Pantai tular di media sosial, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd Fazley Ab Rahman berkata, tindakan itu diambil setelah polis mengesan gambar tular di Facebook memaparkan sekumpulan individu dipercayai dari sebuah kelab kereta yang berkumpul di sepanjang lorong kecemasan untuk merakam gambar di Lebuh Raya Temiang-Pantai pada Sabtu lepas kira-kira jam 6.30 petang
.
“Polis sudah mengenal pasti 48 buah kenderaan yang berhenti di situ dan sebagai permulaan ketua kelab bersama ‘admin’ Facebook kelab berkenaan akan dipanggil memberi keterangan.

“Tindakan itu merupakan satu kesalahan kerana boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna lain yang menggunakan laluan ini dan tindakan undang-undang boleh diambil ke atas mana-mana individu di bawah Kaedah 53(1) LN 166/59 Peraturan-peraturan Lalulintas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, tiada kenderaan daripada apa-apa kelas atau perihal yang ditentukan boleh dipandu, ditunda, ditolak, diletak atau ditinggalkan tanpa jagaan di mana-mana lorong kecemasan kecuali dalam kes kecemasan.

“Selain itu, di bawah Kaedah 53(4) LN 166/59 Peraturan-peraturan Lalulintas, bagi maksud Kaedah-Kaedah ini, ‘lorong kecemasan’ ertinya lorong tambahan atau bahu jalan di sebelah kiri jalan raya selorong, dua lorong, tiga lorong atau empat lorong di Jalan Persekutuan yang ditentukan sebagai lorong kecemasan.

“Hukuman denda boleh dikenakan ke atas individu yang terlibat di bawah Seksyen 119 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan jika sabit kesalahan,” katanya.

Jelasnya, Lebuh Raya Temiang-Pantai merupakan lokasi yang menarik dan menjadi tumpuan orang ramai berhenti untuk mengambil gambar terutama pada waktu pagi kerana keindahan dan kecantikan pemandangan di lokasi terbabit.

“Tetapi tindakan mengambil gambar seperti yang ditularkan di laman sosial Facebook milik sebuah kelab kereta boleh mengundang bahaya.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan yang boleh membahayakan diri sendiri dan kepada orang lain,” katanya.

Dalam pada itu, katanya satu perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan dibuat bagi menyelaraskan tindakan lanjut serta cadangan untuk penyediaan tempat yang khusus di kawasan berkenaan untuk orang ramai mengambil gambar dan berjaja.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here