Polis serbu poliklinik di Gombak kerana jual sijil digital vaksinasi Covid-19

0
134

CYBERJAYA – Pihak polis berjaya menumpaskan kegiatan penjualan sijil digital vaksinasi Covid-19 kepada golongan anti vaksin berpusat di Gombak, baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kegiatan yang berpusat di sebuah poliklinik itu didalangi seorang pengamal perubatan warga tempatan, yang menjual sijil tersebut pada harga RM3,000.

Kata Arjunaidi, serbuan dilakukan selepas satu pesanan ringkas menerusi aplikasi Whatsapp yang menyebut klinik berkenaan menawarkan khidmat pendaftaran vaksinasi di dalam aplikasi MySejahtera tanpa perlu memberikan suntikan, menjadi tular.

“Berdasarkan maklumat itu, polis telah membuat serbuan di sebuah poliklinik di Gombak, Jumaat lalu.

“Kita merampas peralatan komputer yang dipercayai digunakan untuk mengisi data individu dalam sistem MySejahtera.

“Pemeriksaan di dalam komputer riba yang dirampas mendapati ada 5,601 pesakit yang telah didaftarkan sebagai penerima vaksinasi ke dalam sistem MySejahtera,” katanya dalam sidang akhbar di Shah Alam, hari ini.

Difahamkan, klinik berkenaan merupakan klinik yang dipertanggungjawabkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai salah satu fasiliti pemberian vaksin.

Buat masa ini, tambah Arjunaidi, pihaknya sedang mengenal pasti jumlah individu yang telah didaftarkan tetapi tidak diberi suntikan vaksin Covid-19.

Jelas beliau, pemilik klinik berkenaan dan enam pekerja yang berumur antara 20 hingga 35 tahun telah ditahan.

Hasil siasatan juga mendapati, klinik berkenaan sebelum ini telah menjual sijil vaksinasi dengan harga RM3,000 sebelum mengurangkan harga kepada RM500 selepas berdepan dengan saingan.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan/22 (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here