PPIM minta Najib serah memorandum pengeluaran KWSP kepada PM

0
116
Datuk Seri Najib Razak menerima memorandum rayuan pengeluaran KWSP daripada wakil pencaruman PPIM untuk diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri IsmaiL Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini menyerahkan memorandum kepada Datuk Seri Najib Razak untuk disampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Memorandum berkenaan diserahkan di pekarangan pejabat Najib di Jalan Bukit Pantai, di sini, pagi tadi bagi menuntut pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) RM10,000 secara sekali bayar.

Pengerusi PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, memorandum berkenaan dihantar melalui Ahli Parlimen Pekan kerana bekas Perdana Menteri itu sering menggesa supaya pengeluaran dibenarkan ketika ini.

“Tuntutan itu dibuat kerana masih ramai pencarum yang belum mendapat pekerjaan dan gaji yang stabil. Malah, ada juga pencarum sudah mendapat pekerjaan tetapi kadar gaji ditawarkan dan diterima tidak seperti gaji sebelum pandemik Covid-19 sedangkan komitmen sedia ada berdasarkan pendapatan terdahulu.

“Ada juga pencarum yang mahu mengeluarkan simpanan KWSP kerana mahu melunaskan tunggakan hutang, pinjaman dan lain-lain,” katanya dalam sidang media selepas penyerahan memorandum berkenaan.

Sebelum ini, kerajaan meluluskan pengeluaran khas KWSP menerusi i-Sinar pada Mac lalu, dengan had pengeluaran antara RM10,000 hingga RM60,000 bagi mengurangkan impak pandemik.

Kerajaan kemudian mengumumkan pengeluaran khas kedua menerusi i-Citra bermula Ogos lalu, dengan had pengeluaran RM5,000.

Sementara itu wakil pencarum, Azmi Mohd Tahir berkata, rayuan itu dibuat kerana ramai pencarum terkesan akibat penularan Covid-19 dan langkah kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak 2020.

Katanya, sehingga kini lebih 50,000 pencarum menandatangani petisyen menuntut pengeluaran terakhir RM10,000 dari KWSP secara sekali bayar yang diusaha beliau menerusi dalam talian.

Dalam pada itu, Najib berkata, memorandum rayuan itu bertujuan agar kebajikan rakyat diberi perhatian dan diusahakan lagi, terutamanya dalam keperluan pengeluaran KWSP untuk kelangsungan hidup.

“Saya faham. Saya tahu. Saya suarakan. Sehingga hari ini, setiap hari, rumah dan pejabat saya dikunjungi ramai wakil masyarakat, NGO, persatuan, peniaga kecil, usahawan muda, pemimpin parti.

“Saya tidak akan undur diri. Saya tidak akan senyap dalam isu kebajikan rakyat. Saya sudah berkali-kali menyuarakan agar pengeluaran KWSP dibenarkan buat kali terakhir, dan saya juga telah jelaskan bagaimana kita boleh pulihkan simpanan rakyat,” katanya di laman Facebooknya hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here