PPIM tuntut penjelasan isu kematian dan kesan vaksin di Penjara Kajang

0
398
Nadzim Johan bersama Raymond Raj poada sidang akhbar PPIM secara dalam talian hari ini.

CYBERJAYA – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendesak kerajaan menjawab isu kesan sampingan pengambilan vaksin Covid-19 termasuk 2 kes kematian banduan di Penjara Kajang seperti yang tular melalui satu surat di media sosial baru-baru ini.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, PPIM meminta supaya perkara itu dijawab secara lebih serius oleh kerajaan dan pihak-pihak berkenaan seperti Jabatan Penjara Malaysia dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurut beliau, surat yang viral itu mendedahkan komunikasi ‘dalaman’ antara jabatan di Penjara Kajang yang menceritakan kebimbangan pihak pengurusan terhadap kesan dan kematian banduan yang baharu disuntik vaksin.

Dalam kenyataan PPIM yang dibacakan oleh PPIM Anti Mandate Vaccination Immunisation Committee, Raymond Raj, surat bertarikh 30 November 2021 itu mendedahkan terdapat 18 kes daripada 4,185 tahanan di penjara itu yang mengalami kesan Advers setakat bulan Oktober tahun lalu.

“Daripada 18 kes, terdapat dua kematian, tiga mengalami gejala berkaitan jantung, tiga mengalami strok, ada yang lemah anggota dan kecederaan saraf, 6 kes jangkitan paru-paru dan banyak lagi.

“Sekiranya peratusan kesan Advers di Penjara Kajang dijadikan kayu pengukur kepada banduan berjumlah lebih 69,507 di negara ini (terima vaksin), maka kita mungkin menyaksikan kadar korban sebanyak 299 orang setahun,” katanya dalam sidang media secara maya bersama Pertubuhan Anti Diskriminasi Dan Salah Laku hari ini.

Justeru PPIM menggesa kerajaan supaya pemberian vaksin kepada banduan dikaji semula atau mungkin memberikannya suntikan kepada tahanan yang bakal dibebaskan sahaja.

“Ini adalah kerana kesan pengambilan vaksin ini kelihatan lebih memberikan mudarat daripada manfaat.

“Kami minta supaya kerajaan dan pihak berkenaan menjawab isu ini dengan lebih serius kerana selama ini segala pertanyaan dan desakan kami tidak dijawab.

“Kami bukanlah anti vaksin tapi hanya Pro-Safety yang mencari kaedah yang tidak membahayakan pengguna,” katanya.

Nadzim yang lebih dikenali sebagai Toqqi berkata, walaupun pada mulanya perjuangan PPIM dipersoalkan banyak pihak tetapi kini semakin ramai penerima vaksin atau ahli keluarga yang datang membuat aduan mengenai kesan Advers.

“Kalau di lapangan, orang ramai telah mendengar pelbagai aduan mengenai kesan vaksin, kami di PPIM sudah tentu menerima banyak aduan mengenainya.

“Ada ahli keluarga yang mengadu dan bertanya kepada PPIM. Bila kita kemukakan soalan kepada pihak berkenaan tiada yang menjawab, dan tidak dijelaskan langsung sedangkan perkara ini perlu dipandang secara serius,” katanya.

Selain orang ramai, PPIM juga mendesak penjelasan kerajaan mengenai nasib petugas barisan hadapan yang terkena tempias kesan Advers selepas suntikan vaksin pertama dan kedua.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here