
PUTRAJAYA – Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyasarkan menyasarkan seramai 410,000 pembayar zakat dengan jumlah kutipan sehingga RM852 juta pada tahun ini.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, sasaran itu merupakan peningkatan sehingga sembilan peratus berdasarkan kesedaran pembayar zakat dalam menunaikan tanggungjawab tersebut.
“Tahun ini kita menyasarkan seramai 410,000 pembayar zakat dengan jumlah kutipan sehingga RM852 juta, manakala bagi zakat perniagaan pula, dijangka sebanyak 6,000 syarikat dengan kutipan berjumlah RM132 juta tahun ini.
“Sasaran itu diukur pada tiga bulan pertama tahun ini dengan melihat keadaan ekonomi yang semakin baik, seterusnya akan dibawa semula kepada Lembaga Pengarah untuk putuskan sasaran baharu nanti,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Zakat Korporat 2022 semalam.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail.
Pada majlis tersebut, PPZ-MAIWP menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM7.93 juta daripada 19 syarikat korporat antaranya Malakoff Corporation Berhad, Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran dan SME Berhad.