Premis sekitar runtuhan tebing di Seri Kembangan diarah henti operasi

0
133
Tangkap layar kejadian tebing runtuh di Jalan LP1A, Lestari Perdana, Seri Kembangan dalam kejadian petang semalam.

CYBERJAYA – Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengarahkan 17 premis perniagaan berhampiran dengan lokasi tebing runtuh di Lestari Perdana, Seri Kembangan di sini menghentikan operasi bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MBSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, perintah itu dikuatkuasakan selepas arahan dikeluarkan oleh
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan.

“Arahan tersebut dikeluarkan atast nasihat Jabatan Kejuruteraan MBSJ dan Pasukan Bomba dan Penyelamat dan pemilik premis juga diminta tidak berada berhampiran kawasan itu sehingga keadaan disahkan selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Azfarizal, arahan juga dikeluarkan kepada pemilik kenderaan supaya mengosongkan kawasan berkenaan berhampiran tebing longkang di Jalan LP1A itu.

Sementara itu beliau berkata, pihaknya akan melaksanakan kerja-kerja pengukuhan tebing serta-merta bagi mengelakkan keadaan bertambah teruk.

Selain itu, pihaknya juga akan mengenal pasti punca runtuhan dan merangka pembaikan segera.

Dalam kejadian lewat petang semalam, tebing longkang sepanjang kira-kira 90 meter runtuh dipercayai akibat mendapan tanah dan hujan lebat.

Insiden tersebut tular di media sosial melalui rakaman video memaparkan saat-saat berlakunya runtuhan tanah yang ‘menelan’ lima buah kenderaan yang berada di situ.

Mengulas mengenai kejadian itu, Azfarizal berkata, pasukan Pantas MBSJ menerima maklumat mengenai kejadian tebing longkang runtuh itu daripada pihak bomba pada jam 7 malam dan bergegas ke lokasi.

“Semasa kejadian terdapat lima kenderaan terlibat di dalam runtuhan tersebut tetapi tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here