PRN Johor: BN kaji dahulu sebelum buat keputusan kerjasama dengan PAS

0
23
MOHAMAD

CYBERJAYA – Pihak Barisan Nasional (BN) akan membuat penelitian sebelum membuat keputusan bekerjasama dengan PAS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Menurut Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, setakat ini, majoriti daripada kepimpinan di semua peringkat bahagian dan akar umbi mahukan supaya BN bersendirian di dalam pilihan raya berkenaan.

“Bagaimanapun, peringkat pemimpin tertinggi akan meneliti dengan sebaik-baiknya sebelum apa jua keputusan yang hendak dibuat, supaya apa yang diputuskan nanti, semata-mata akan mendatangkan kebaikan kepada BN,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan UMNO Johor di Johor Bahru, hari ini.

Terdahulu, Mohamad menghadiri Majlis Pertemuan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO bersama MCA dan MIC Johor.

Pada Isnin lepas, Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin dilaporkan sebagai berkata, akan mengadakan pertemuan dengan pimpinan UMNO negeri dalam masa terdekat, bagi berbincang mengenai persefahaman dua parti itu dalam menghadapi PRN Johor atas semangat Muafakat Nasional (MN).

Ditanya mengenai kehadiran banyak parti politik yang akan menyertai PRN ini, sama ada akan memberi kelebihan atau kekurangan kepada BN, Mohamad berkata, “lagi banyak lagi meriah”.

Ketika ditanya adakah dalam pertemuan Ahmad Zahid bersama MCA dan MIC Johor itu ada membincangkan mengenai pengagihan kerusi, beliau berkata “tidak ada dan belum lagi.”

“Kita tidak lagi sampai ke tahap berbincang tentang calon, kerana calon ini biarlah dilakukan dengan proses sebaik mungkin.

“Yang penting ialah kita nak cari formula macam mana hendak dapat meyakinkan pengundi-pengundi rakyat Johor, untuk berikan mandat semula kepada BN,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here