PRN Johor: BN kaji dengan teliti kerjasama dengan Pas, akar umbi mahu BN bergerak solo

0
33
Datuk Seri Mohamad Hasan dalam sidang akhbar hari ini.

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) akan mengkaji dengan teliti tentang sebarang kemungkinan mengenai kerjasama politik dengan Pas, kata Timbalan Pengerusinya Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mohamad berkata, ketika ini kepimpinan di semua peringkat, bahagian dan akar umbi mahukan BN bergerak solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Yang pastinya, keputusan yang dibuat itu nanti akan memberikan kebaikan kepada BN.

“Kita akan melihat dengan teliti, mengkaji dengan teliti tentang perlunya diadakan kerjasama dengan Pas pada PRN Johor itu. Peringkat pimpinan tertinggi akan meneliti sebaiknya sebelum apa jua keputusan yang nak dibuat.

“Apa yang akan diputuskan itu nanti pastinya akan memberi kebaikan kepada BN pada PRN Johor,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, partinya tidak berpuas hati dengan tawaran empat kerusi sahaja oleh UMNO.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, Pas berhasrat untuk mendapatkan kesemua kerusi yang gagal dimenangi UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14.

“Pas menghormati hasrat UMNO untuk bergerak solo. Untuk Pas, kami telah menghulurkan tangan untuk bekerjasama demi perpaduan ummah. Menawarkan hanya empat daripada 56 kerusi, pada pandangan kami adalah tidak wajar.

“Tawaran kami adalah demi mengukuhkan kerjasama dan menyatukan ummah. Sasaran kami demi memastikan Pakatan Harapan tidak lagi memegang kuasa di Johor,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here