PRN Johor: Pas nafi tolak tawaran 4 kerusi daripada UMNO

0
37
Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin

CYBERJAYA – Pas menafikan telah mengadakan rundingan atau pun perbincangan dengan UMNO bagi pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Menurut Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin, malah dakwaan yang timbul bahawa parti itu menolak tawaran kerusi ‘boleh menang’ daripada UMNO juga tidak benar.

“Merujuk kepada video yang tular di mana Pengerusi UMNO Johor, Datuk Hasni Mohamad yang mempersoalkan kejujuran Pas dalam Muafakat Nasional (MN) apabila menolak tawaran empat kerusi daripada UMNO dan lebih tertarik kepada tawaran 15 kerusi daripada Bersatu.

“Pas Johor ingin menegaskan bahawa setakat ini belum ada perundingan atau perbincangan dibuat bersama UMNO Johor tentang pengagihan kerusi PRN Johor dan PRU-15 apa lagi menyatakan pendirian menolak tawaran kerusi DUN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebagai rakan dalam Muafakat Nasional (MN), Pas Johor sentiasa berlapang dada dan terbuka untuk terus komited dengan usaha memperkukuhkan pemuafakatan tersebut.

“Pas Johor menyeru dan berharap apa jua isu berbangkit dapat diperbincangkan secara ukhuwwah melalui perundingan agar hubungan yang terbina akan terus terjaga.

“Pendekatan ini penting bagi mengelakkan salah faham di samping ianya dapat mengelakkan andaian dan laporan yang mengelirukan di media sosial,” ujarnya.

Sementara itu, Abdullah berkata, Pas Johor juga menafikan keterlibatan dengan menyokong calon Berjasa dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada 2019.

Beliau berkata, jentera Pas Johor telah digerakkan sepenuhnya untuk berkempen dan menyokong calon Barisan Nasional (BN) daripada MCA pada ketika itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here