PRN Johor: PH selesai agih kerusi PKR 20, Amanah 20, DAP 16

0
44
Presiden Amanah, Mohamad Sabu

JOHOR BAHRU – PKR dan Amanah masing-masing akan bertanding 20 kerusi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Mohamad Sabu.

Mohamad yang merupakan Presiden Amanah berkata, dalm keputusan yang dimuktamadkan semalam itu, DAP bertanding di 16 kerusi.

Bagaimanapun kata bekas Menteri Pertahanan itu  calon yang akan bertanding masih dalam proses akhir untuk dimuktamadkan.

“Keputusan agihan kerusi diputuskan semalam dengan PKR dan Amanah 20 kerusi manakala DAP pula 16 kerusi.

“Selepas ini, ketiga-tiga parti akan berbincang semula bagi memuktamadkan agihan dengan parti lain yang mahu bertanding bersama PH pada PRN Johor, termasuk Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dan Parti Warisan Sabah (WARISAN).

“Keputusan parti lain bersama PH pada PRN Johor ini akan kita muktamadkan sehari dua ini juga. PH Johor akan membuat pengumuman rasmi apabila semuanya sudah dimuktamadkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sarapan pagi bersama pimpinan PH Johor di Permas Jaya, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi PH Johor merangkap Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim.

Mengulas lanjut mengenai kerusi yang akan ditandingi PH pada PRN Johor, Mohamad berkata, 20 kerusi PKR dan Amanah membabitkan kawasan campuran serta kawasan majoriti kaum.

“DAP pula bertanding di kawasan bandar namun ada juga kerusi di kawasan majoriti kaum,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here