PRN Johor: SPR adakan mesyuarat khas Rabu ini

0
11
SPR

CYBERJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan satu mesyuarat khas berkaitan urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-15 pada Rabu ini.

Menurut Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak, mesyuarat khas tersebut akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh.

“Mesyuarat khas ini akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRN DUN Johor seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, pihak SPR secara rasminya telah menerima notis daripada Speaker DUN Johor berhubung pembubaran DUN Johor penggal yang ke-14 pada 23 Januari lalu sebagaimana termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undang Negeri Johor, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895.

Katanya, berdasarkan Fasal (4) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undang Negeri Johor, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 berkehendakkan suatu pilihan raya umum diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN tersebut.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here