
CYBERJAYA – Program pemberian vaksin Covid-19 bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun akan bermula Februari ini, sebaik sahaja bekalan vaksin Comirnaty tiba di Malaysia mulai 31 Jan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata keputusan itu adalah berdasarkan data, maklumat dan pandangan Kumpulan Kerja Teknikal (TWG), dan panel penulis Garis Panduan Klinikal Vaksinasi Covid-19 Kanak-Kanak.
“Pelancaran program pemberian vaksinasi kanak-kanak berusia lima tahun hingga bawah 12 tahun akan diadakan pada 3 Feb ini di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur,” kata Khairy Jamaluddin dalam satu sidang akhbar di Bangunan Parlimen, hari ini.
Vaksin keluaran Pfizer yang akan digunakan dalam program ini telah menerima kelulusan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (DCA) Malaysia pada 6 Jan lepas.
Formulasi Comirnaty yang akan digunakan dalam program ini merupakan formulasi khas 0.2 mililiter vaksin 10 mikrogram (mcg) yang dicampur dengan 1.3ml larutan garam biasa.
“Dos ini merupakan satu pertiga daripada dos yang digunakan di dalam dos dewasa,” kata Khairy Jamaluddin lagi.