Puak Houthi rampas kapal UAE bawa peralatan perubatan

0
33

JEDDAH – Pihak militia Houthi dilaporkan menawan sebuah kapal pengangkut kargo milik Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di wilayah Hodeidah di Yemen, malam tadi.

Portal Asharq Al-Awsat dalam laporannya menyebut, ketika ditawan, kapal itu sedang membawa muatan peralatan perubatan yang sedang dipindahkan dari Pulau Socotra, Yemen ke Pelabuhan Jazan di Arab Saudi.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Arab Saudi, Brigadier Jeneral Turki al-Malki berkata, kapal tersebut membuat panggilan kecemasan pada pukul 11.57 malam (waktu tempatan).

Beliau menambah, kapal tersebut membawa barangan berupa ambulan, bekalan ubat, alatan perhubungan dan sebuah dapur medan, yang berasal dari sebuah hospital medan pangkalan hadapan tentera Arab Saudi yang telah ditutup.

“Tindakan ini menunjukkan ancaman militia Houthi tidak hanya terhad di daratan, sebaliknya juga di lautan terutamanya di laluan perdagangan di Teluk Bab al-Mandeb dan selatan Laut Merah,” kata Jeneral Turki.

Beliau menambah, tindakan militia Houthi itu melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Manual San Remo Mengenai Undang-Undang Antarabangsa berkaitan Konflik Bersenjata di Lautan.

“Kapal itu mesti dibebaskan segera, jika tidak pihak kami akan bertindak, termasuk menggunakan kekerasan sekiranya mereka enggan berbuat demikian,” kata Jeneral Turki lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here