
KUALA LUMPUR –Pendatang baharu Liga Premier, Putrajaya Cyborg meneruskan rentak kemenangan dalam kejohanan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/22 dengan menjadikan Selangor Piston sebagai mangsa baharu.
Putrajaya Cyborg yang menurunkan regu Syahril Rosdi selaku tekong, Suhairi Sulaiman (apit kanan) dan Muslim Ramli (perejam) menewaskan Selangor Piston menerusi kemenangan 2-1.
Pada set pertama Putrajaya Cyborg yang masih segar dengan kemenangan ke atas Penang Black Panthers semalam menewaskan pasukan tetangga itu dengan keputusan 21-19.
Bagaimanapun, Selangor Piston kembali bangkit pada set kedua dengan mencatatkan kemenangan 21-19.

Pada set penentuan kedua-dua pasukan menampilkan aksi sengit sebelum Putrajaya Cyborg menang dengan keputusan 23-21.
Sementara itu, ketua pasukan Putrajaya Cyborg, Suhari berkata, dia dan pasukannya bersyukur dengan kemenangan kedua berturut-turut dalam kejohanan itu.
Katanya, meskipun terpaksa membahagikan tugas dengan kerja hakiki masing-masing, setiap pemain terus memberikan aksi terbaik demi lencana di dada.
“Kami semua mempunyai kerjaya masing masing dan bukanlah pemain sepak takraw sepenuh masa.
“Namun, dengan berbekalkan minat dan semangat serta peluang diberikan daripada pengurusan Putrajaya Cyborg, insya-Allah kami akan bermain dengan sehabis baik dan sepenuh hati bagi mencari kemenangan seterusnya,” katanya.