Remaja cuba curi tabung masjid dipenjara 10 hari, denda RM4,000

0
77

CYBERJAYA – Setelah tular dipaksa menjadi jenazah akibat kantoi mencuri tabung masjid, seorang remaja dijatuhkan pula hukuman penjara selama 10 hari dan denda RM4,000 di Mahkamah Majisteret Selayang.

Majistret Nik Mohd. Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu terhadap Daniel Iskandar, 19, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya, hari ini.

Tangkap layar video menunjukkan remaja itu sedang dimandikan umpama memandikan jenazah.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 9 Januari lalu.

Sekiranya gagal membayar jumlah denda tersebut, tertuduh boleh dipenjara selama lima bulan.

Terdahulu sebelum hukuman dijatuhkan, majistret itu menegur tindakan tertuduh yang cuba mencuri tabung tersebut.

“Tahu apa salah awak? Duit orang bagi (dalam tabung) untuk masyarakat dan pembangunan masjid. Awak curi letak dalam bilik jenazah pulak. Harap benda ini jadikan satu pengajaran dan kesedaran pada awak,” kata majistret itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah cuba melakukan curi tabung kepunyaan Masjid Al-Islahiah dengan mengheret dan menyorokkan tabung di dalam bilik mandi jenazah.

Kesalahan itu dilakukan Masjid Al Islahiah Kilometer (km) 28 Kuang, Rawang, pukul 11.58 malam pada 8 Januari lalu (2022).

Berikutan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan di baca bersama Seksyen 511 yang mana hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Sebelum ini, tular sebuah video berdurasi satu minit 25 saat menunjukkan seorang remaja yang didakwa cuba mencuri tabung masjid dipaksa berbaring di atas tempat mandian jenazah sebelum dimandikan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here