RFID: Syarikat konsesi perlu kekalkan laluan TnG, SmartTag

0
162
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama ketika berucap semasa Majlis Pelancaran Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia 2022 di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Kerajaan mahu rakyat diberi pilihan untuk menggunakan jenis transaksi bayaran tol sama ada teknologi Pengenalan Frekuensi Radio (RFID), Touch N Go (TNG), atau SmartTag.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, keputusan mengenai perkara itu (diberi pilihan) telah diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet hari ini.

Justeru katanya, syarikat konsesi supaya mengekalkan lorong pembayaran menggunakan TnG dan SmartTag.

Beliau berkata, kerajaan tidak mahu pelaksanaan RFID akan memberi tekanan kepada rakyat kerana rakyat perlu diberi kemudahan untuk memilih seperti ketika peralihan pembayaran tunai kepada TnG dan SmartTaG, sebelum ini.

“Sekarang kita nak perkenalkan RFID supaya mempercepatkan laluan.

“Cadangan itu bagus tetapi dari segi pengguna, mereka mesti diberi pilihan sama ada nak guna RFID, TnG atau SmartTAG,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Jelajah Agrikomoditi #KeluargaMalaysia 2022 di sini malam ini.

Beliau berkata, Kementerian Kerja Raya akan memanggil syarikat terbabit untuk berbincang dan dimaklumkan mengenai keputusan Jemaah Menteri itu selain keputusan membabitkan bayaran perlu dirujuk kepada Kabinet.

Pelaksanaan RFID yang dimulakan secara berperingkat di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) pada 15 Januari lalu, mengundang kemarahan pengguna lebuh raya terbabit apabila mereka terpaksa berdepan kesesakan teruk di Tol Sungai Besi dan Plaza Tol Bandar Seri Putra kerana kegagalan sistem berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here