RM10 juta untuk FAM, Peminat dan penyokong dahagakan kejayaan skuad Harimau Malaya-PM

0
18
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melakukan gimik pecah tanah sambil disaksikan oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin pada Majlis Pecah Tanah di Ibu Pejabat Baharu FAM, Putrajaya.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sumbangan RM10 juta kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai sokongan terhadap pembangunan sukan itu di Malaysia.

Perdana Menteri berkata, dalam sukan bola sepak, pembangunan pemain bola sepak bukan setakat infrastruktur yang canggih dan moden semata-mata. 

Sebaliknya kata Ismail Sabri, bola sepak negara hanya akan maju apabila ada pembangunan pemain yang sistematik bermula daripada peringkat akar umbi dan seterusnya menggilap bakat mereka sehingga menjadi aset terbaik negara.

“Pembangunan akar umbi yang mantap dan berkesan memerlukan semangat profesionalisme yang tinggi. Sikap profesional menuntut sesebuah organisasi dan juga individu untuk membuat perancangan yang rapi. Failing to plan is planning to fail.

“Bola sepak adalah sukan yang paling popular. Bola sepak menjadi sukan nombor satu negara. Bak kata orang, Keluarga Malaysia makan bola, tidur bola, tengah kerja pun bola. 

“Bola sepak turut terbukti menyatukan Keluarga Malaysia. Saya juga peminat sukan bola sepak dan sentiasa mengikuti perkembangan bola sepak negara, Harimau Malaya.

“Pasukan bola sepak negara ini mempunyai peminat yang ramai dan memiliki penyokong yang setia iaitu Ultras Malaya. Peminat dan penyokong ini sentiasa dahagakan kejayaan skuad negara sama ada di peringkat Asia Tenggara, Asia mahupun antarabangsa.

“Kerana itu, sentiasa menjadi harapan peminat dan penyokong Harimau Malaysia agar FAM dapat melahirkan pemain-pemain yang berkualiti dan membangunkan fasiliti secara terancang bagi meningkatkan mutu bola sepak negara,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Ibu Pejabat Baharu FAM di Presint 5 di Putrajaya hari ini.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan sentiasa melakukan yang terbaik untuk membantu perkembangan mutu bola sepak negara. 

“Peta Hala Tuju atau F:30 yang dilancarkan pada 2018 pula adalah simbol kesungguhan FAM dalam melaksanakan pelan menyeluruh ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bola sepak yang disegani. 

“Sasaran utama F:30 ini adalah menjadikan pasukan negara sebagai salah satu daripada lima pasukan terbaik di Asia menjelang 2030. Sasaran ini mampu dicapai dengan syarat pucuk pimpinan FAM sentiasa menambah baik hala tuju dalam tempoh 12 tahun ini dari semasa ke semasa dan tidak lari daripada objektif asal mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, seorang pemain bola sepak yang berbakat perlu dibimbing oleh jurulatih terbaik dari usia muda, manakala jurulatih pula harus mendapat tunjuk ajar daripada instruktur atau jurulatih pakar.

Menurutnya, dengan kemahiran teknikal yang dimiliki hasil daripada bimbingan jurulatih yang hebat, ia sekali gus meningkatkan kebolehpasaran pemain bukan sahaja di liga tempatan malah ke peringkat antarabangsa.

“Contohnya pasukan Chelsea atau The Blues yang berpangkalan di Stamford Bridge, England. Ekosistem pasukan Liga Perdana Inggeris ini cukup lengkap.

“Akademi mereka mengendalikan pasukan yang dianggotai pemain semuda 9 hingga 23 tahun satu ekosistem yang menuntut pembabitan jurulatih, pengurusan kelab dan sokongan ibu bapa,” katanya.

Ismail Sabri berkata, kelab-kelab bola sepak tempatan harus mencontohi Chelsea yang pada masa sama turut membangunkan daya kebolehpasaran serta kualiti pemain mereka.

Turut menggunakan Vietnam sebagai contoh, katanya, pada 2006, pasukan itu menduduki ranking 172 dan kini mereka menjadi satu-satunya pasukan dari Asia Tenggara yang berjaya mara ke pusingan akhir kelayakan Piala Dunia 2022.

“Apa yang membezakan Malaysia dan Vietnam? Jawapannya adalah pembangunan bola sepak di peringkat awal.

“Kunci kepada peningkatan prestasi pasukan Vietnam ialah Akademi Hoang Anh Gia Lai yang menjalinkan kerjasama dengan pasukan Arsenal, sekolah bola sepak Perancis JMG Academy dan sokongan konglomerat Vietnam,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, tapak ibu pejabat ketiga FAM seluas 2.4 hektar itu akan dijadikan sebagai Pusat Latihan Kebangsaan FAM serta pelbagai fasiliti yang mampu menampung program bola sepak di peringkat akar umbi sehingga kebangsaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here