
KUALA LUMPUR – Sebanyak RM125.504 juta telah disalurkan kerajaan melalui Bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah RM1,000 kepada mangsa banjir di negeri-negeri yang terjejas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah tersebut adalah sebahagian daripada peruntukan bantuan secara terus kerajaan kepada mangsa banjir yang berjumlah RM1.4 bilion.
Selain BWI, kerajan menyediakan pelbagai peruntukan antaranya Bantuan Pembelian Keperluan Asas; Bantuan Membina dan Membaik Pulih Rumah; Pinjaman Mikro BSN Untuk Isi Rumah; Pinjaman TEKUN untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana dan banyak lagi.
Bagi agihan BWI kepada mangsa yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) katanya, setakat 18 Januari lalu, prestasi pengagihan adalah 97.3 peratus daripada bilangan ketua isi rumah yang layak bagi gelombang pertama banjir meliputi lapan negeri.
“Prestasi pengagihan bagi gelombang kedua adalah sebanyak 57.3% meliputi negeri Terengganu, Negeri Sembilan, Kelantan, Pahang, Sabah dan Johor.
“Bagi mangsa banjir yang tidak berpindah ke PPS, prestasi pengagihan pula adalah sebanyak 50.8%,” kata semasa pembentangan Mesyaurat Khas Penggal Keempat Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu Ismail Sabri berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pula telah menyalurkan RM25 juta kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) menggunakan tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) bagi pengagihan Bantuan Pembelian Keperluan Asas (BPKA) kepada ketua isi rumah yang layak.
Mengenai perkembangan kerja-kerja pembersihan dan pembaikan infrastruktur, Ismail Sabri berkata 99.67 peratus telah siap dilaksanakan bagi kerja pembersihan Fasa 1 melibatkan enam negeri iaitu Johor, Pahang, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sehingga 18 Jan lepas.