RM132,000 lesap gara-gara scam pertandingan teka bola

0
62
Gambar hiasan.

JEMPOL – Seorang kerani wanita berputih mata selepas kerugian sebanyak RM132,000 gara-gara ditipu sindiket pertandingan teka bola yang disertainya melalui satu aplikasi, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, mangsa yang berusia 53 tahun menyertaikan pertandingan itu selepas diperkenalkan oleh rakannya yang datang ke rumahnya di Jalan Tampin, Bahau.

Beliau berkata, mangsa telah membuka lima akaun untuk memperoleh keuntungan dengan lebih cepat melibatkan modal sebanyak RM132,000.

“Mangsa dijanjikan keuntungan dua peratus mengikut modal dimasukkan untuk setiap teka perlawanan yang disertai.

“Untuk tujuan itu, mangsa telah memindahkan wangnya ke satu akaun melalui enam transaksi sebagai syarat dan modal menyertai pertandingan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Bagaimanapun katanya, mangsa mula mengesyaki dirinya ditipu semalam selepas gagal dalam cubaan mengeluarkan wang menggunakan aplikasi tersebut dan baki wang pada aplikasi tersebut juga telah kosong.

“Mangsa mengesyaki telah ditipu dan membuat laporan polis pada hari yang sama untuk tindakan lanjut,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here