
KUANTAN – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperuntukkan sebanyak RM3.05 juta bagi membeli 50 buah bot untuk kegunaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, bot itu khusus bagi kegunaan PDRM dalam berhadapan bencana banjir yang berlaku hampir setiap tahun.
Hamzah berkata, dengan adanya aset dan keperluan berkenaan, ia sekali gus membuktikan pasukan beruniform tersebut bersedia dalam menghadapi situasi berkenaan.
“Bencana banjir adalah sesuatu yang telah kita anggap fokus paling utama yang perlu diberikan pada waktu ini berikutan seluruh dunia juga telah mengalami perubahan fenomena cuaca menyebabkan kita perlu belajar daripada apa yang berlaku walaupun kita sudah faham cara untuk menghadapi bencana dan banjir.
“Dengan itu, sebagai permulaan hari ini kita sudah memperoleh tujuh bot jenis Whally pelbagai saiz yang begitu lasak dan sesuai digunakan dalam operasi keselamatan serta menyelamat mangsa banjir untuk tempoh terdekat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja Pengurusan Banjir Pantai Timur di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Galing di Kuantan hari ini.
Menurut Hamzah, sebanyak 43 bot lagi dijangka diterima dalam tempoh 10 minggu akan datang untuk diserahkan kepada negeri yang memerlukan.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, penyerahan bot itu bukan sesuatu yang terlewat namun, ia sebagai tambahan aset yang tidak mencukupi apabila berdepan dengan fenomena banjir yang luar biasa.
“Ingin saya maklumkan, kita bukan tidak ada aset cuma tidak mencukupi apabila berdepan dengan fenomena baharu.
“Tambahan pula, kita bukan agensi penyelamat, kita hanya barisan hadapan yang tampil membantu lebih awal untuk memaklumkan kepada mereka (mangsa) tentang bencana.
“Sebagai contoh anggota polis perlu memaklumkan kepada mereka yang berada di kawasan banjir untuk keluar namun apabila air naik setinggi empat kaki, kita sendiri pun sukar untuk masuk, jadi bot-bot ini akan digunakan untuk memberi bantuan awal sementara menunggu kehadiran pasukan penyelamat daripada agensi lain,” katanya