Dakwaan RMT macam makanan ayam: Menteri arahkan siasat sekolah terlibat

0
138
Makanan RMT yang disediakan di sebuah sekolah yang tular semalam

CYBERJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius dakwaan yang tular di media sosial mengenai makanan yang disediakan kepada murid di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sebuah sekolah yang disifatkan sangat teruk.

Menurut Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin, berikutan itu beliau telah mengarahkan supaya siasatan lanjut dibuat, termasuk mengenalpasti sekolah yang terlibat.

“Malam tadi saya dimaklumkan tentang satu hantaran di Facebook yang tular mengenai gambar nasi putih dan kuah yang didakwa sebagai makanan kepada murid di bawah RMT.

“Saya memandang serius dakwaan tersebut dan telah arahkan supaya siasatan lanjut dibuat, termasuk mengenalpasti sekolah yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Radzi menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dalam hal yang melibatkan kebajikan murid.

Semalam seorang pengguna akaun Facebook, Zurina Hassan mempersoalkan makanan yang disediakan oleh kantin sekolah kepada murid-murid RMT.

Dalam gambar yang dimuatnaik itu, hidangan yang disediakan hanya nasi, kuah dan sedikit hirisan sayur lobak dan beberapa ketul sayur kobis.

“Cucu saudara bawak balik dekat mak dia makanan RMT. Sadis betul. Makanan apa yang diberi untuk budak-budak dekat sekolah? Adakah peruntukan RMT terlalu sedikit sampai pengusaha kantin beri makanan begini kepada budak-budak?

“Sebelum ini budak-budak mengadu makanan RMT tidak sedap, kita pun beritahu kena bersyukur sebab masih ada makanan. Tapi, ini makanan untuk siapa? Ayam?,” soalnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here