
ALOR GAJAH – Belum tiba masanya untuk membincangkan soal rombakan kabinet, itu reaksi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut hari ini.
Ismail Sabri berkata, fokus utama kerajaan ketika ini adalah untuk mempercepatkan bantuan kepada mangsa yang terjejas dengan bencana banjir di samping tindakan lanjut untuk membendung penularan pandemik Covid-19.
“Saya tak nak cakap pun soal ada atau tidak (rombakan Kabinet) .. selagi saya tak umumkan, tiadalah. Belum sampai masanya, kita fokus kepada banjir. Topik utama yang kita akan bincangkan dalam mesyuarat (Kabinet) esok ada dua.
“Yang pertama adalah banjir, yang kedua adalah masalah Covid-19 yang agak membimbangkan walaupun kes kita masih di bawah 3,000 (sehari),” katanya selepas meninjau dan mengagihkan sumbangan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Gangsa hari ini.
Perdana Menteri berkata demikian bagi mengulas spekulasi berhubung dakwaan mendakwa tiga Menteri akan digugurkan daripada barisan Kabinet selepas gagal menunjukkan prestasi baik dalam pengurusan bencana banjir.
Ismail Sabri menambah, kerajaan sebelum ini menjangkakan Covid -19 berupaya menjadi endemik dalam masa terdekat.
Walaubagaimanapun dengan kemunculan varian Omicron, beliau berkata, tindakan yang bersesuaian akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet esok.
Mesyuarat Khas yang akan berlangsung esok itu turut membabitkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang dijangka akan membentangkan proses penangguhan umrah.