Rundingan damai Selatan Thailand bersambung setelah dua tahun tertangguh

0
34

PATTANI – Setelah tertangguh selama dua tahun akibat pandemik Covid-19, rundingan damai selatan Thailand dilaporkan diadakan semula buat secara bersemuka di Kuala Lumpur, semalam.

Laporan Bernama menyebut, mesyuarat kumpulan kerja itu dihadiri oleh ketua perunding, Wanlop Rugsanaoh dan kumpulan bersenjata paling berpengaruh di selatan Thailand, iaitu Barisan Revolusi Nasional (BRN) yang diketuai Anas Abdulrahman.

Turut hadir, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Mohd. Noor, yang bertindak sebagai fasilitator.

Setiausaha Proses Rundingan Damai Selatan Thailand, Thira Daewa berkata, mesyuarat yang berlangsung selama dua hari itu membincangkan tiga perkara dipersetujui di meja rundingan, iaitu mengurangkan keganasan di lapangan, penglibatan bersama sayap politik dan mekanisme perbincangan di lapangan.

“Ini akan menjadi hala tuju proses rundingan damai yang akan datang,” katanya kepada Bernama.

Wanlop dijangka menghadiri satu sidang akhbar di Phuket Sabtu ini, di mana beliau akan memaklumkan perkembangan terkini proses rundingan di Kuala Lumpur yang berakhir hari ini.

Mesyuarat rasmi pertama diadakan di Kuala Lumpur pada 20 Jan 2020, apabila kedua-dua pihak bersetuju rundingan adalah cara terbaik menyelesaikan konflik bersenjata di selatan Thailand. Mesyuarat kedua diadakan pada 2 dan 3 Mac 2020, juga di Kuala Lumpur.

Mesyuarat rasmi itu disifatkan harapan baharu untuk menamatkan keganasan di Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla, wilayah yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Rundingan secara bersemuka tergendala apabila sempadan Thailand dan Malaysia ditutup berikutan pandemik Covid-19.

Namun, kedua-dua pihak mengadakan mesyuarat maya sebanyak tiga kali sepanjang tempoh Covid-19.

Pemberontakan di selatan Thailand yang bermula pada 2004 mengorbankan lebih 7,000 nyawa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here