
KOTA KINABALU – Sabah mengesan kes pertama Covid-19 varian Omicron melalui kes import di daerah Tawau membabitkan seorang warganegara yang pulang dari mengerjakan umrah di Tanah Suci.
Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kes kembali ke Malaysia pada 19 Disember melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan tiba di Tawau bersama isterinya pada 20 Disember lalu.
“Setibanya di Tawau, pesakit dan isteri diarahkan menjalani kuarantin di rumah mereka dan keputusan ujian ‘whole genome sequencing’ pada 4 Januari lalu menunjukkan beliau positif varian Omicron.
“Isteri pesakit yang juga sedang menjalani kuarantin pada masa sama dikesan positif Covid-19 melalui ujian PCR pada 24 Disember lalu.
“Keputusan ‘whole genome sequencing’ untuk isterinya masih dalam ujian di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR),” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Masidi berkata, kedua-dua pesakit yang telah menerima vaksinasi penuh itu berada dalam keadaan sihat ketika disahkan positif dan berada dalam kategori 1 dan 2.
“Mereka berdua sudah selesai menjalani kuarantin pada 1 Januari dan pulih daripada jangkitan virus berkenaan,” katanya.