
CYBERJAYA – Kerajaan Sarawak akan mula melaksanakan vaksinasi Covid-19 kepada kanak-kanak berusia tiga hingga 11 tahun pada bulan depan.
Menteri Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Awam, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, kerajaan negeri kini sedang menguruskan persediaan untuk pemberian vaksin Pfizer-BioNTech seperti mana diumumkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Beliau berkata, pemberian vaksin itu penting sebagai persediaan pembukaan sesi persekolahan secara fizikal selepas negeri itu beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), hari ini.
“Pemberian vaksin untuk kanak-kanak bawah 12 tahun itu sejajar dengan pembukaan semula sesi persekolahan akan datang.
“Memandangkan sesi persekolahan secara fizikal akan bermula, kerajaan Sarawak telah bersedia melaksanakan vaksinasi COVID-19 untuk kanak-kanak di bawah umur 12 tahun,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sementara itu ketika sesi perbincangan secara langsung bersama Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng menerusi Facebook semalam, Dr Sim berkata dos vaksin Pfizer-BioNTech yang akan diberikan adalah tidak sama dengan dewasa.
Dalam pada itu, Dr Sim turut mengingatkan masyarakat supaya tidak mengambil ringan penularan kes varian Omicron di negeri ini.
“Meskipun varian Omicron tidak menunjukkan kesan yang teruk tetapi ia merebak lebih pantas. Jangan ambil ringan hal ini,” katanya.