[VIDEO] Sasaran hasilkan 3,000 huffaz al-Quran setahun bukan perkara mustahil

0
51
Upacara ikrar di antara bapa dan anaknya yang diterima masuk menyertai Program Akmal Brainy Bunch Dream Tahfiz, hari ini.

CYBERJAYA – Cabaran melahirkan 3,000 orang huffaz al-Quran setahun mungkin nampak agak mustahil untuk dicapai, namun bukanlah diluar kemampuan.

Menurut Ketua Pengarah Eksekutif Akademi al-Quran Amalilah (Akmal), Ustaz Mohd. Saifullah Hussin, pihaknya telah merangka program yang berkesan di mana seorang murid mampu bergelar seorang hafiz dalam lingkungan masa setahun sahaja.

Majlis Ikrar dan Watikah Pelajar Baharu Akmal Brainy Bunch 2022

“Alhamdulillah, sepanjang satu tahun ini, saya amat saya sangat rasa excited kerana anak-anak pelajar batch pertama di Brainy Bunch berjaya capai misi mereka hafiz 30 juzuk al-Quran.

“Sekarang, sudah ada 7 orang berjaya capai misi, dengan pelajar pertama berjaya mencapai misi (bergelar hafiz) dalam masa 138 hari,” kata Saifullah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Ikrar dan Watikah Pelajar Baharu Akmal Brainy Bunch 2022 di Sekolah Antarabangsa Brainy Bunch , di sini hari ini.

Saifullah menjelaskan, pihaknya meletakkan sasaran untuk meghasilkan sebanyak 3,000 huffaz al-Quran menjelang 2025 nanti.

“Sasaran kami agak besar, bukan sahaja dengan Brainy Bunch tetapi dengan semua pihak.

“Kami perlukan sokongan dan dokongan dari anda semua. Nampak mustahil, tapi dengan kemahuan dan minat yang tinggi, bersama rancangan yang berkesan, sasaran itu akan dapat dicapai,” kata Saifullah.

Program Akmal Brainy Bunch Dream Tahfiz yang masuk tahun kedua hari ini menerima kemasukan 16 lagi pelajar yang berminat untuk mendalami bidang penghafazan al-Quran.

Menurut Mudir Program, Ustaz Abdullah Hafizzan Mokhtar, program ini tidak akan berjaya sekiranya tidak mendapat sokongan semua pihak.

“Harapan saya bagi pelajar ini, supaya semua pelajar dapat bergelar hafiz dan hafizah dalam masa setahun atau kurang.

“Ini semua boleh dicapai kerana semua perlu ada momentum yang betul, dan pihak pengajar, pelajar dan juga ibubapa perlu mainkan peranan terutamanya dalam memberikan sokongan terhadap keputusan yang dilaksanakan oleh tenaga pengajar,” kata Abdullah Hafizzan lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here