
KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) menerima sebanyak 896 daripada 24,286 laporan kesan advers susulan imunisasi (AEFI) berkaitan dos penggalak setakat 15 Januari lepas.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 896 AEFI itu, sebanyak 42 kes menerima kesan sampingan yang serius manakala baki mengalami kesan sampingan minimum.
“Kalau dilihat jumlah dilaporkan itu, 0.4 untuk setiap 1,000 dos diberikan, bagi dos penggalak adalah 0.1 untuk 1,000 dos diberikan manakala kesan sampingan teruk ialah 0.05 bagi 1,000 dos diberikan,” katanya memetik laporan Bernama hari ini.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 9.2 juta dos penggalak telah diberikan kepada penerima hingga 15 Januari lepas.
Mengenai laporan miokarditis dalam kalangan kanak-kanak, beliau berkata hanya satu hingga tiga kes bagi setiap 100,000 kanak-kanak mendapat kesan miokarditis hasil vaksinasi, namun akan menjadi 36 kali ganda lebih tinggi untuk mendapat miokarditis sekiranya tidak divaksin.
Berhubung perkembangan terkini AEFI melibatkan banduan Penjara Kajang, Dr Noor Hisham berkata 13 daripada 18 laporan yang diterima telah selesai disiasat dan dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Farmakovigilan Khas Vaksin Covid-19 (JFK) pada 12 Januari lepas.
“Lima laporan lagi termasuk yang melibatkan kematian masih dalam siasatan sementara hasil penilaian JFK berdasarkan laporan siasatan diterima, 10 daripada kes tersebut (selesai disiasat) dikenal pasti bukan disebabkan vaksin yang diterima banduan.
“Bagi tiga laporan lagi, kesan advers hanya berkemungkinan berlaku disebabkan oleh vaksin yang diambil,” katanya.