“Sekolah ini umpama satu dakapan”

0
158
Bangunan ISKL di Taman Melawati yang akan menjadi kampus baharu Brainy Bunch International Islamic Montessori School Kuala Lumpur tidak lama lagi.

KUALA LUMPUR – “Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur (ISKL) yang akan menjadi kampus Brainy Bunch International Islamic Montessori School Kuala Lumpur (BBISKL) ini umpama satu pelukan bagi anak-anak kami.”

Demikian ungkapan diluahkan Katie Milton, ibu kepada bekas pelajar ISKL dan juga Pegawai Pentadbiran Pusat sekolah antarabangsa yang berpusat di Amerika Syarikat itu.

Katie berkata, sebagai ibu kepada dua anak lelaki yang pernah menerima pendidikan di sekolah itu sejak 10 tahun lalu, beliau menghargai setiap detik dan kenangan di sekolah berkenaan.

“Dua anak lelaki saya mula mendaftar di sekolah ini pada 2002. Pengalaman sejak dari hari pertama kami di sini, umpama melangkah ke dalam satu ‘pelukan’.

“Kami selalu terkenang saat-saat indah di sekolah ini kerana semuanya menenangkan. Persekitarannya seronok, komuniti dan seluruh warga sekolah ini sangat istimewa bagi kami,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.

Katie Milton yang berkongsi kenangan manisnya dalam penuh beremosi sepanjang berkhidmat di ISKL Taman Melawati, Kuala Lumpur.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan kunci sekolah berkenaan kepada Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan Malakat Eco dan Brainy Bunch, Adzhar Mohd Noor di Taman Melawati di sini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Brainy Bunch ASEAN dan Raudhah College, Noriha Mohd. Zain dan barisan pengurusan institusi pendidikan montessori Islam itu.

Menurut Katie, pengambil alihan sekolah itu oleh Brainy Bunch diharap akan menjadi ‘pengganti’ dan
memberi ‘nafas baharu’ kepada komuniti Taman Melawati selepas perpindahan warga ISKL ke kampus baharu di Jalan Ampang Hilir kira-kira tiga tahun lalu.

Katanya, Brainy Bunch beruntung kerana memiliki sebuah premis pendidikan yang terletak di dalam komuniti yang begitu mengambil berat kepada pendidikan anak-anak dan hidup dalam suasana yang prihatin.

“Sebagai bekas salah seorang ibu dalam komuniti Taman Melawati, saya yakin sekolah ini akan hidup semula dan mendapat tempat di hati penduduk.

“Dengan segala kemudahan dan kelengkapan yang ada di sekolah ini saya mengharapkan Brainy Bunch akan berjaya di masa hadapan,” katanya dalam nada penuh emosi.

Bekas kampus ISKL yang terletak kira-kira 500 meter dari Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) itu menempatkan ruang pembelajaran seperti bilik kelas, audiotorium, bilik seni dan kemudahan aktiviti luar seperti padang bola, kolam renang dan gelanggang bola keranjang.

Bangunan ISKL mula dikosongkan pada 2018 selepas perpindahan sekolah yang berpangkalan di Ameria Syarikat itu ke kampus di Ampang Hilir, Kuala Lumpur.

Ia dirasmikan pada 1992 bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz.

Sebahagian daripada dua blok bangunan sekolah ISKL yang akan dijadikan kampus baharu Brainy Bunch International Islamic Montessori School Kuala Lumpur tidak lama lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here