
CYBERJAYA – Semua anggota Kabinet diingatkan bahawa mereka mempunyai peranan masing-masing dalam menghadapi krisis kesihatan, ekonomi dan bencana yang melanda negara.
Ingatan itu disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mempengerusikan Mesyuarat Kabinet pertama tahun 2022 di Bangunan Perdana Putra hari ini.
Perdana Menteri berkata, beliau yakin dan percaya, dengan tumpuan dan dedikasi dari semua anggota Kabinet, segala cabaran ini dapat dilalui dengan tenang, sebagai sebuah Keluarga Malaysia.
“Pagi ini saya mempengerusikan Mesyuarat Kabinet pertama tahun 2022 di Perdana Putra.
“Saya turut mengingatkan Anggota Kabinet bahawa semua orang mempunyai peranan masing-masing dalam menghadapi krisis kesihatan, ekonomi dan bencana yang melanda negara.
“Saya yakin dan percaya, dengan tumpuan dan dedikasi dari semua, cabaran ini dapat kita lalui dengan tenang, sebagai sebuah Keluarga Malaysia,” kata Perdana Menteri di laman Facebooknya hari ini.
Menurut Perdana Menteri, antara penekanan Mesyuarat Kabinet hari ini adalah isu pengurusan banjir dan pasca banjir, serta isu penangguhan ibadah umrah bagi jemaah Malaysia, atas sebab penularan varian Omicron di Tanah Suci.
“Berikutan bencana banjir negara, saya akan pastikan setiap pihak menggalas tugas sebaiknya dalam melancarkan urusan pemberian bantuan-bantuan kerajaan. Segala bantuan yang telah diumumkan mesti disegerakan,” katanya.