
KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah dibenarkan keluar dari Wad Diraja Institut Jantung Negara (IJN) hari ini.
Kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin kepada Bernama, Seri Paduka dibenarkan keluar dari IJN pada pukul 11 pagi tadi setelah selesai menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan sejak Sabtu lepas.
Sementara itu, Istana Negara menerusi laman Facebook rasmi memaklumkan, keberangkatan pulang Al-Sultan Abdullah dari IJN ke Istana Negara diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
“Seri Paduka menzahirkan rasa terharu dengan keprihatinan rakyat terhadap keafiatan Baginda dan menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat yang telah mendoakan kesejahteraan Baginda,” kata kenyataan itu.
Pada Ahad lepas, Ahmad Fadil menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa Seri Paduka dimasukkan ke IJN bagi menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan.
Rawatan itu susulan rawatan intervensi pada sendi-sendi lutut dan buku lali yang dijalani oleh Seri Paduka di IJN pada 24 Sept lepas.
Intervensi itu perlu dilakukan setelah Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) menunjukkan kecederaan pada sendi-sendi lutut dan buku lali Al-Sultan Abdullah ketika bersukan.