Seri Paduka jalani rawatan susulan di IJN

0
16
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

CYBERJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah kini sedang menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan di Wad Diraja Institut Jantung Negara (IJN) di kuala Lumpur untuk tempoh beberapa hari bermula semalam.

Menurut Istana Negara, pemeriksaan kesihatan dan rawatan susulan itu adalah berkaitan dengan rawatan intervensi pada sendi-sendi lutut dan buku lali yang dijalani oleh Seri Paduka di IJN pada 24 Sept lepas.

Rawatan intervensi itu dibuat setelah Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) menunjukkan kecederaan pada sendi-sendi lutut dan buku lali Sultan Abdullah ketika bersukan.

“Rawatan susulan ini tertangguh dari tarikh itu ekoran pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 di hospital awam, termasuk IJN.

“Pada masa sama, Seri Paduka juga berkenan menjalani pemeriksaan respiratori di IJN,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan tersebut, hari ini.

Ahmad Fadil menambah, kesihatan Seri Paduka secara amnya dalam keadaan baik dan tidak membimbangkan, seterusnya baginda dijadual berangkat pulang bersemayam di Istana Negara dalam masa terdekat setelah selesai menjalani rawatan susulan itu.

“Seluruh rakyat diseru bersama mendoakan semoga Seri Paduka dikurniakan kesembuhan segera dan keafiatan yang berpanjangan,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here