Seri Paduka perkenan penubuhan RCI siasat TH

0
41
WAN JUNAIDI

CYBERJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenankan supaya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat isu pengurusan dan pengoperasian Lembaga Tabung Haji (TH) dari 2014 hingga 2020.

Laporan Bernama menyebut, perkara itu dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, hari ini.

Beliau berkata, penubuhan RCI itu dilakukan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) dan menambah, Seri Paduka turut memperkenan pelantikan enam ahli RCI termasuk bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md. Raus Sharif sebagai Pengerusi.

Lima lagi ahli RCI ialah bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman; Pengasas Kumpulan RHB, Tan Sri Abdul Rashid Hussain; bekas Pengerusi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Tan Sri Dr. Mohd. Munir Abdul Majid; Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Unishams), Profesor Dr. Asmadi Mohamed Naim; dan Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Norsyahrin Hamidon.

Kata Wan Junaidi lagi, ahli RCI yang dilantik merupakan tokoh berwibawa, mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang masing-masing iaitu kehakiman, perkhidmatan awam, pentadbiran, ekonomi, kewangan, pelaburan, pasaran modal, perbankan, kewangan Islam serta perakaunan.

“Mereka yang dilantik ini telah dipastikan bebas dan tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan TH.

“Ini bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan telus, adil dan saksama serta mengelak sebarang isu yang melibatkan konflik kepentingan dengan pihak yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menambah, pelantikan itu berkuat kuasa mulai esok hingga 19 Julai dan suruhanjaya itu diberikan tempoh selama enam bulan bagi melaksanakan siasatan serta menyediakan laporan untuk dipersembah kepada Seri Paduka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here