Sidang media bubar DUN Johor esok?

0
40


Gambar Hiasan

JOHOR- Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dijadualkan akan mengadakan sidang media khas esok, dipercayai berkenaan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Menurut sumber, sidang media itu dilakukan selepas Hasni, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, selesai mempengerusikan pertemuan dengan kesemua Ketua UMNO Bahagian di Johor.

Ketika ini, rakyat Johor sedang menanti dengan penuh debar sebarang pengumuman berkenaan pembubaran DUN Johor untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Berdasarkan maklumat yang diterima, mesyuarat UMNO negeri yang bakal diadakan esok akan melibatkan pemimpin tertinggi parti di peringkat negeri dan kesemua 26 ketua bahagian di Johor.

Mesyuarat berkenaan juga dijangka turut membincangkan berhubung pelaksanaan PRN negeri termasuk calon-calon untuk setiap kerusi yang dipertandingkan sebelum Hasni dilaporkan akan mengadakan sidang akhbar selepas itu.

Bagaimanapun, sehingga kini waktu dan tempat sidang media itu masih belum dimuktamadkan, biarpun berkemungkinan besar ia akan diadakan di bangunan Badan Perhubungan UMNO Johor.

Semalam, sebuah portal berita tempatan mendakwa surat permohonan pembubaran DUN oleh Menteri Besar telah dihantar kepada Pejabat Speaker DUN negeri ini.

Menurut laporan portal berkenaan, perkara itu disahkan sumber dalam UMNO sendiri yang turut mendakwa kemungkinan pembubaran DUN Johor akan dibuat Ahad ini.

Laporan itu turut mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah berjumpa Menteri Besar Johor bagi membincangkan persiapan PRN dimana perkara itu telah mendapat perkenan Istana Johor.

Namun, perkara itu bagaimanapun dinafikan Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat yang memberitahu pihaknya tidak menerima sebarang surat seperti yang didakwa portal berkenaan.

Baru-baru ini, Hasni, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Benut, memberitahu media, visi dan perancangan Kerajaan Negeri Johor akan terus berjalan lancar biarpun sewaktu tempoh DUN dibubarkan.

Kenyataan itu sekaligus menguatkan desas-desus bahawa PRN Johor akan diadakan, yang rata-rata penganalisis berpandangan ia akan diadakan dalam tempoh antara selepas Tahun Baharu Cina (1 Feb) dan sebelum bulan Ramadan (2 April).

Desas-desus mengenai PRN semakin hebat susulan kematian ADUN Kempas Datuk Osman Sapian pada Disember lepas, menjadikan kerajaan pimpinan UMNO hanya memiliki satu majoriti satu kerusi dalam DUN Johor.

Pada masa ini, Dewan Undangan Negeri Johor diterajui Barisan Nasional dengan 28 kerusi yang merangkumi UMNO (14 kerusi), MIC (dua), Bersatu (11) dan Pas (satu) manakala Pakatan Harapan memiliki 27 kerusi iaitu DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here