
CYBERJAYA – Pihak Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) mendedahkan bahawa siren amaran bahaya banjir di stesen siren Taman Sri Muda 2 telah dibunyikan sebanyak 16 kali pada 18 Disember tahun lalu.
Selain itu, siren amaran juga turut dibunyikan sebanyak enam kali di stesen siren sama.
Kata JPS dalam satu kenyataan tadi, siren amaran di stesen siren Taman Sri Muda 2, berbunyi bermula pukul 10.30 pagi manakala, siren bahaya pula pada 12.30 tengahari hingga 8 malam.
Bagi stesen siren di Taman Sri Muda 3 pula, ia telah dibunyikan sebanyak 10 kali dengan masing-masing siren itu adalah siren amaran dan siren bahaya.
Siren amaran di stesen tersebut bermula pukul 2 pagi hingga 7 pagi sebelum siren bahaya berbunyi pada 11 pagi hingga 4 petang.
Pada tarikh tersebut, Taman Sri Muda dan beberapa kawasan lain di Selangor dilanda banjir besar susulan hujan berterusan yang turun sejak pagi.
JPS turut memaklumkan terdapat beberapa operasi banjir dijalankan di Taman Sri Muda seperti menurunkan paras air Sungai Klang yang bermula pada 20 Disember.