
CYBERJAYA – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Putra yang terbengkalai sejak 2019 akhirnya dapat disiapkan sepenuhnya pada awal minggu ini.
Menurut Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, sekolah tersebut akan boleh mula beroperasi bagi penggal baharu persekolahan pada bulan Mac nanti.
“Mengetahui kesukaran ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke sekolah, kami dapat merasakan betapa mereka tertunggu-tunggu bilakah SMK Bandar Saujana Putra ini boleh mula beroperasi.
“Memahami kesulitan yang dihadapi oleh ibu bapa dan murid, saya telah meminta supaya projek ini dipulih dan disiapkan segera serta dipantau dari semasa ke semasa.
“Alhamdulillah, awal minggu ini saya dimaklumkan pembinaan sekolah telah siap sepenuhnya. Hari ini, kami sekali lagi turun untuk melihat persediaan terakhir sebelum sekolah dibuka dan mula beroperasi bagi penggal baharu persekolahan pada bulan Mac nanti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, katanya, pemakluman lanjut berkaitan pendaftaran murid ke sekolah itu akan diumumkan dalam masa terdekat.
Katanya, Kementerian Pendidikan (KPM)
sentiasa komited bagi melakukan yang terbaik untuk semua.
Pada November 2020, Radzi berjanji untuk memberi tumpuan terhadap projek pembinaan sekolah yang telah lama terbengkalai di seluruh negara, bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan semula dapat disegerakan.
Katanya, segala masalah birokrasi di bawah pentadbiran KPM atau agensi lain akan dikurangkan bagi membolehkan projek ‘sakit’ ini dapat dipulihkan segera.-MT