Solat Jumaat dan fardu di Kelantan kekal jarak 1.6 meter

0
16
Gambar Hiasan

KOTA BHARU- Prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan solat Jumaat dan fardu di masjid, surau serta musalla di Kelantan kekal sebagaimana yang dikeluarkan sebelum ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, SOP kekal mengikut kapasiti sebenar masjid dengan penjarakan 1.6 meter.

Beliau berkata, MAIK juga membenarkan aktiviti masjid seperti zikir, kelas al-Quran, kuliah umum atau khas mengikut kapasiti sebenar masjid yang berkuat kuasa serta merta.

“Kebenaran itu diberikan kepada semua masjid, surau dan musalla di seluruh Kelantan. Ia berikutan, Kelantan sudah berada dalam tempoh Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Perkara ini mendapat perkenan daripada Sultan Muhammad V dan Yang Dipertuan bagi Negeri Kelantan sebagai Ketua Agama Islam sebagaimana peruntukan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu katanya, pihak MAIK amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak terutama umat Islam secara amnya dalam melaksanakan ketetapan ini.

“SOP hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pengurusan dan jika didapati ada pihak yang melanggar SOP yang ditetapkan ini, masjid, surau dan musalla akan diarahkan tutup,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here