SPRM jawab isu klip video doktor ‘jual’ MC

0
47

CYBERJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mempertahankan video pendek yang disiarkan sebagai kempen anti rasuahnya sebagai tidak bertujuan untuk menjatuhkan kredibiliti pengamal perubatan.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, video bertajuk ‘MC Boleh Menjadi Rasuah’ yang disiarkan pada 4 Januari lalu hanya menjadikan isu ‘pembelian’ sijil cuti sakit sebagai contoh mudah perbuatan rasuah untuk difahami orang ramai.

Kata kenyataan itu, SPRM sama sekali tidak berniat untuk menjatuhkan atau mempersoalkan profesionalisme pakar atau pengamal perubatan melalui penerbitan video berkenaan.

Sebaliknya, penyiaran video itu bertujuan untuk mendidik masyarakat serta memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai perbuatan menawar, memberi dan menerima rasuah.

“SPRM mengambil maklum mengenai respons yang diterima termasuk daripada pihak Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berhubung video ini.

“Sehubungan dengan ini, bersandarkan kepada nilai kebertanggungjawaban dan kesepaduan, SPRM mengambil keputusan untuk menurunkan video tersebut demi menjaga sensitiviti dan keharmonian semua pihak,” katanya kenyataan itu.

Tangkap layar klip video bertajuk ‘MC Boleh Menjadi Rasuah’ yang disiarkan oleh SPRM sebagai pesanan khidmat masyarakat sebelum ini.

Tambah kenyataan itu lagi, SPRM amat menghargai segala usaha, pengorbanan serta sumbangan daripada setiap pengamal perubatan di negara ini, khususnya ketika negara berdepan dengan penularan pandemik Covid-19

Penyiaran iklan khidmat masyarakat yang memaparkan seorang seorang doktor menerima suapan daripada pesakit untuk mendapatkan sijil cuti sakit palsu telah menimbulkan rasa tidak puas hati pengamal kesihatan.

Terdahulu, MMA dalam kenyataannya menyelar dan menggesa SPRM supaya menurunkan video yang dianggap mencemar imej kerjaya pengamal perubatan di negara ini.

Tindakan menyiarkan klip video yang dianggap tidak sensitif itu juga dianggap seolah-olah SPRM melupakan pengorbanan doktor sepanjang wabak Covid-19.

“Agensi itu sepatutnya menggunakan contoh lain untuk menyampaikan mesejnya. Sebagai doktor kami rasa amat terhina dengan hantaran itu yang wajar diturunkan segera,” kata MMA dalam satu kenyataan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here