STL: Putrajaya cipta kemenangan pertama, Penang Black Panthers kejutkan KL Thunders

0
66
Aksi Putrajaya Cyborg menentang Johor Tigris sebentar tadi

KUALA LUMPUR – Pendatang baharu kejohanan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL), Putrajaya Cyborg berjaya membuat kejutan dengan menewaskan Johor Tigris menerusi kemenangan straight set di Stadium Titiwangsa dekat sini, sebentar tadi.

Dalam set pertama, Putrajaya meraih kemenangan 21-16, namun, mereka diberi tentangan oleh Johor Tigris sebelum menutup permainan 21-17 dalam set kedua.

Kejayaan tersebut menghadiahkan dua mata berharga buat Putrajaya selepas tewas dalam dua perlawanan berturut-turut kepada ATM Guardians dan Perak Bison dalam perlawanan pembukaan pada minggu lepas.

Dalam pada itu, menurut ketua jurulatih Putrajaya, Zulkarnain, walaupun tekong utamanya, Farid Aziz tidak dapat diturunkan kerana mengalami masalah kesihatan, ia tidak menjejaskan rentak pasukan tersebut.

“Kami yakin dengan persiapan pasukan dan bersedia untuk perlawanan kali ini, walaupun terdapat pelbagai halangan dan ujian kami tetap positif.

“Selain itu, tekong muda kami, Syaril Rosdi yang diturunkan kali ini bagi menggantikan tekong utama juga berjaya menyerap tekanan sekali gus menghadiahkan kemenangan pertama Putrajaya Cyborg dalam kejohanan ini,” ujarnya.

Sementara itu, dalam aksi lain, Selangor Pistons bangkit daripada kekalahan satu set untuk menewaskan Bomba Fighters 2-1 dalam aksi sebentar tadi.

Manakala pasukan KL Thunders yang mempertaruhkan regu berpengalaman – Mohamad Syahir Mohd Rosidi selaku tekong, Mohamad Azlan Alias (perejam) dan Amirul Zazwan Amir (pengumpan) tewas kepada regu muda Penang Black Panthers dengan keputusan 20-22, 21-18, 16-21.

Pemain muda Penang Black Panthers berjaya mengejutkan regu senior KL Thunders dalam pertandingan Emas Anuar STL sebentar tadi

Kemenangan pasukan Penang Black Panthers itu merupakan yang ketiga berturut-turut selepas menundukkan Negeri Sembilan Antlers 22-20, 16-21, 21-17 dalam aksi pertama, sebelum mengetepikan Bomba Fighters 23-21, 21-17.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here