
KUALA LUMPUR – Pendatang baharu Liga Premier, Putrajaya Cyborg terus menjadi mimpi buruk pasukan lawan apabila terbaharu berjaya membuat kejutan dengan menewaskan pasukan Kuala Lumpur Thunders dalam kejohanan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) sebentar tadi.
Pasukan Putrajaya yang rata-rata dibarisi pemain amatur menewaskan Kuala Lumpur menerusi kemenangan tiga set.
Putrajaya yang menurunkan Farid Aziz sebagai tekong, Suhairi Sulaiman (apit kanan) dan penyerang muda Amar Putra memenangi set pertama dengan keputusan 21-16 sebelum Kuala Lumpur bangkit semula dengan mencatatkan kemenangan 21-13 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.
Bagaimanapun, usaha Kuala Lumpur yang juga juara bertahan untuk terus bangkit gagal apabila mereka tewas di set penentuan dengan keputusan 16-21 kepada Putrajaya.
Sementara itu, Farid berkata, meskipun dirinya masih diselubungi kerisauan selepas ibunya dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), ia tidak menghalang dia dan pasukan memberikan persembahan terbaik sekali gus menumbangkan pasukan gergasi STL.
“Kemenangan demi kemenangan dan diberi jolokan “giant killers” oleh penonton menambahkan semangat pasukan kami yang kini berada di tangga kedua liga di belakang ATM Guardians.”
“Ini semua merupakan semangat dan doa daripada ibu saya yang sedang berada di HKL untuk rawatan diabetik.
“Dikesempatan ini juga saya mohon penyokong semua mendoakan yang terbaik untuk ibu supaya kembali sihat dan pulih seperti sedia kala,” katanya.-MT