
CYBERJAYA – Gara-gara mahukan bonus tahunan dan kelebihan yang diberikan kepada individu yang lengkap divaksin, sepasang suami isteri dipercayai ‘antivaks’ yang juga penjawat awam di sebuah jabatan kerajaan di Melaka sanggup menggunakan sijil vaksinasi digital Covid-19 disyaki palsu menerusi aplikasi MySejahtera.
Namun, tindakan mereka berjaya dihidu oleh pengarah jabatan yang terlibat, dan setelah siasatan dalaman selesai, kedua-duanya ditahan pihak polis pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supt. Arshad Abu berkata, selain pasangan berusia 38 dan 33 tahun itu, pihaknya turut menahan rakan sekerja lelaki mereka berusia 58 tahun yang disyaki orang tengah yang menguruskan penjualan dan proses muat turun sijil tersebut.
Katanya lagi, pihak polis masih mencari seorang lagi suspek yang dikenali sebagai ‘VNilai’.
“Pada 30 Dis lepas, status vaksinasi lengkap dua dos pasangan suami isteri berkenaan diragui palsu oleh pengarah jabatan terlibat sebelum mengarahkan seorang pegawai tadbirnya di pejabat khidmat pengurusan menyemak ketulenan sijil tersebut.
“Pada keesokan hari, pegawai tadbir itu telah menghantar surat kepada Klinik Kesihatan (KK) Rembia untuk membuat semakan dan pengesahan status berkenaan sebelum menerima maklum balas daripada KK Rembia pada 5 Jan lepas mengatakan pasangan berkenaan tidak menerima vaksin daripada klinik itu,” kata Arshad dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati pasangan tersebut mendapatkan sijil vaksinasi digital berstatus dua dos lengkap berkenaan daripada rakan sekerjanya itu pada harga RM500 seorang.
Katanya lagi, sijil berkenaan dibeli mereka kerana ia merupakan prasyarat untuk mendapatkan bantuan khas kewangan atau bonus penjawat awam selain mengelak dikenakan tindakan oleh jabatan kerana enggan divaksin serta memudahkan mereka memasuki premis perniagaan.
Arshad kemudiannya menambah, semakan mendapati suami isteri itu pernah membuat laporan polis pada pertengahan tahun lepas kerana enggan menerima suntikan vaksin Covid-19.