
KUALA LUMPUR- Pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh menolak tawaran untuk wakili Malaysia di Piala AFF 2020 di Singapura pada bulan lalu.
Perkara itu didedahkan oleh Pengerusi Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya, Datuk Dell Akbar Khan dalam sidang media di Wisma FAM hari ini.
“Daripada segi pemain untuk kejohanan ini pada awal lagi memang ada kekurangan untuk FAM menghantar jumlah pemain yang sepatutnya iaitu 30 pemain.
“Dimana silapnya, FAM kena jawap…sama ada gagal untuk rancang. Memang ada beberapa pemain yang dipanggil juga tidak dapat menyertai pasukan ketika itu.
“Sumareh misalnya, menolak tawaran untuk dipanggil mewakili Malaysia di Piala AFF kali ini,” katanya pada sidang media Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya di Wisma FAM, hari ini.
Selepas Sumareh menolak untuk wakili negara, Jurulatih Harimau Malaya ketika itu,Tan Cheng Hoe terpaksa memanggil bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi pada saat akhir menjelang kempen Piala AFF
Tindakan itu dilakukan bagi menggantikan Sumareh yang dikatakan tidak dapat dibawa ke Singapura kerana alasan berdepan urusan keluarga selain mengalami kecederaan pangkal paha.
Dalam kempen Piala AFF 2020 bulan lalu, skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe berjaya mencatat dua kemenangan awal ke atas Kemboja 3-1 dan Laos 4-0.
Bagaimanapun mereka tewas baki dua perlawanan Kumpulan B selepas itu kepada Vietnam 3-0 dan Indonesia 4-1, sekali gus gagal melangkah ke separuh akhir.