Suruhanjaya Sekuriti mahu Azam Baki beri penjelasan kontroversi pemilikan saham

0
145
Tan Sri Azam Baki

CYBERJAYA – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki akan dipanggil oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berhubung kontroversi isu pemilikan saham olehnya.

Dalam satu kenyataan hari ini, SC berkata ia bagi mendapatkan penjelasan lanjut dan mengesahkan kenyataan yang dibuat oleh Azam, serta mengumpul sebarang bukti yang berkaitan.

“Di bawah Seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991, setiap akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mestilah atas nama pemilik benefisial sekuriti yang didepositkan, atau atas nama penama yang diberi kuasa.

“Pada masa sama, Seksyen 29(a) Akta yang sama juga menetapkan bahawa semua urus niaga dalam sekuriti hendaklah hanya dilaksanakan oleh pemilik benefisial sekuriti atau penama yang diberi kuasa,” katanya hari ini.

Semalam, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata pihaknya tidak menemui sebarang perlakuan jenayah atau percanggahan kepentingan daripada pihak Azam.

Katanya, ini kerana saham yang dimiliki Azam digunakan oleh adiknya, Nasir Baki, dan Azam tidak mempunyai sebarang kepentingan kewangan atau benefisial ke atas pembelian atau pemilikan saham-saham berkenaan.

Tambahnya, pembelian saham tersebut dibuat di pasaran terbuka dan ia telah dipindah milik semula kepada Nasir dalam tahun berkaitan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here