
CYBERJAYA – Suspek pembunuhan pensyarah Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI), Dr Fadi M R Albatsh Fatma, dipercayai telah ditahan di Gaza.
Perkara berkenaan dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dalam hantaran terbaharunya di Facebooknya pagi ini.
“Berita tersebar pagi tadi bahawa pengintip dan pembunuh Imam Fadi Al-Batsh di Kuala Lumpur pada 2018 berjaya ditangkap di Gaza oleh pihak keselamatan.
“Pembunuh terbabit masuk ke Gaza dan menghubungi pihak penjajah untuk meminta duit. Perbualannya diintip pihak keselamatan Gaza dan ditangkap. Dia memaklumkan membunuh Imam Fadi bersama lelaki lain di Kuala Lumpur ketika itu,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan pembunuhan pensyarah Fadi M R Albatsh Fatma dipercayai didalangi Agensi Perkhidmatan Rahsia Israel iaitu Mossad.
Ketua Jihad Islam Palestin, Khaled al-Batash, yang mengeluarkan kenyataan itu, berkata dua suspek menaiki motosikal jenis BMW yang melepaskan tembakan jarak dekat berkenaan dipercayai ejen Mossad yang berada di Malaysia.
Pembunuhan Fadi mendapat liputan meluas berita di Asia Barat dan menjadi kecoh apabila Khaled mengeluarkan kenyataan mendakwa pembunuhan itu didalangi serta dirancang oleh Mossad.