Syarikat tempatan labur RM1 bilion bina kilang pemasangan kereta elektrik di Melaka

0
245
GAMBAR twitter/Sulaiman Md. Ali

MELAKA – Sebuah syarikat tempatan dilaporkan akan membina sebuah kilang pemasangan kereta elektrik pertama di negara ini, di Melaka.

Portal Melaka Hari ini melaporkan, kilang itu akan dibangunkan oleh sebuah syarikat Bumiputera tempatan, Fieldman EV Sdn Bhd (FEV) di kawasan perindustrian Lipat Kajang diatas satu tapak seluas kira-kira 500 ekar dengan nilai pelaburan kira-kira RM1 bilion.

Menurut Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md. Ali, pembinaan kilang itu akan membuka 5,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan selepas projek pembinaan itu siap tidak lama lagi.

“Kerajaan negeri mengalu-alukan kerjasama dengan syarikat FEV ini kerana bakal memberi manfaat jangka masa panjang dengan memantapkan lagi perkembangan industri automotif di Melaka.

“Ia sekaligus dapat mewujudkan industri hiliran dalam kalangan industri automotif tempatan, pemindahan teknologi kereta elektrik dan meningkatkan lagi ekonomi negeri Melaka.

“FEV telah membuat pelan jangka masa panjang bagi tempoh tujuh tahun bermula tahun 2018 hingga 2026 di mana bakal menerajui perkembangan teknologi dan pemasangan kereta elektrik di Melaka,” kata Sulaiman.

Beliau berkata demikian pada dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Kereta Elektrik dan Beca Elektrik daripada syarikat FEV kepada kerajaan negeri, hari ini

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Datuk Kamel Mohamad; Exco Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh; Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; dan Pengarah Urusan Syarikat FEV, Razmi Shah Othman.

Untuk rekod, FEV merupakan anak syarikat Fieldman Sdn. Bhd. yang ditubuhkan pada April 2019 dan memegang hak eksklusif pengedaran kereta elektrik di Malaysia dan pasaran ASEAN dari syarikat automotif China, Changan Automobile Corporation.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here