
CYBERJAYA – Tan Sri Azam Baki melahirkan rasa syukur di atas keputusan yang dibuat oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang telah mendapati tiada kesalahan dilakukannya berhubung kes pembelian saham.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berkata, beliau juga dimaklumkan bahawa SC telah menutup fail inkuiri tersebut.
“Saya telah dimaklumkan oleh pihak Suruhanjaya Sekuriti bahawa siasatan terhadap perkara itu telah dimuktamadkan.
“Oleh yang demikian, pihak Suruhanjaya telah menutup fail inkuiri tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Azam berkata, beliau akan meneruskan tanggungjawab sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk membanteras gejala rasuah di negara tanpa mengira darjat atau pangkat.