
CYBERJAYA – Kerajaan memutuskan untuk tidak menaikkan tarif elektrik lebih 9 juta pengguna domestik, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Sehubungan dengan itu, kerajaan memutuskan untuk meneruskan subsidi sebanyak lebih RM700 juta agar pengguna-pengguna domestik tidak terkesan,” katanya dalam satu ciapan menerusi laman Twitternya.
Dalam pada itu, Suruhanjaya Tenaga dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerajaan pada Rabu lalu bersetuju mengekalkan kadar tarif elektrik semasa bagi pengguna domestik di Semenanjung untuk tempoh kawal selia bermula 1 Februari 2022 hingga 31 Disember 2024 di bawah mekanisme Peraturan Berasaskan Insentif(IBR).
Keputusan itu juga terpakai kepada pengguna komersial dan industri.
Kadar tarif itu digunakan sejak 1 Januari 2014 apabila mekanisme IBR diperkenal sebagai dasar baharu dalam penetapan tarif elektrik.