
CYBERJAYA – Kerajaan bertegas tidak akan melaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan balik kampung sempena Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri pada tahun ini.
Menurut portal Astro Awani, penegasan itu dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.
“Sudah ada orang yang buat spekulasi macam-macam, termasuk kononnya tak boleh balik raya kerana kes meningkat semula sejak beberapa hari lepas, namun jangan bimbang, kita tidak akan tutup lagi seluruh negara, atau negeri atau daerah kerana jaminan sudah diberikan,” kata Ismail Sabri.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri perjumpaan tertutup bersama petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Bera di Pejabat Kemas Bera, Pahang, hari ini.
Tambah Ismail Sabri, jika terdapat peningkatan kes Covid-19 di sesebuah kawasan, kerajaan hanya akan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan yang terbabit sahaja.
“Pergerakan rakyat juga seperti biasa, tetapi kita akan memfokus kepada kawasan sasaran yang banyak berlaku penularan kerana kita ada PKPD.
“Jika kampung itu yang dikenakan PKPD, maka mereka dari kampung itu sahaja yang tidak boleh pulang,” jelasnya.