
JOHOR BAHRU – Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan UMNO tidak menawarkan sebarang habuan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu Johor yang keluar parti.
Ahmad yang merupakan Setiausaha Agung UMNO, berkata, tindakan yang diambil oleh kedua-dua ADUN Bersatu berkenaan tiada sebarang kaitan dengan UMNO.
Selain itu, Ahmad turut mengesahkan UMNO tidak menerima permohonan daripada kedua-dua mereka untuk menyertai UMNO.
“UMNO tetap berterima kasih kepada kedua-dua bekas ADUN itu yang menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.
“Tapi tidak ada sebarang habuan yang dijanjikan kepada mereka. Mereka dengan sukarela suci hati keluar daripada PPBM (Bersatu) tanpa kami janjikan apa-apa. Itu kehendak mereka sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan bersama parti Makkal Sakti Malaysia yang diadakan di sebuah hotel di sini, hari ini.
Sebelum ini, bekas ADUN Larkin, Datuk Mohd Izhar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor itu mengumumkan keluar Bersatu.
Tindakan itu selepas bekas ADUN Puteri Wangsa yang juga Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang meletak jawatan sebagai ketua bahagian dan mengumumkan keluar parti.
Kedua-dua mereka berbuat demikian dengan alasan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan tertinggi parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.